JEDDAH – Perancang tengah Manchester City, Mateo Kovacic berpeluang mencipta sejarah baharu sebagai pemain pertama berjaya menjulang Piala Kelab Dunia bersama tiga kelab berbeza.
Kovacic, 29, sebelum ini pernah memenanginya sebanyak tiga kali dengan dua bersama Real Madrid pada 2016 dan 2017 serta satu ketika mewakili Chelsea dua tahun lalu.
Tonggak antarabangsa Croatia itu akan memintas rekod yang dipegang Cristiano Ronaldo jika dia berjaya membantu City menewaskan Fluminense pada aksi final edisi 2023 di Stadium King Abdullah Sports City awal pagi esok.
Ia juga akan menjadi gelaran keduanya bersama The Citizens selepas Piala Super Eropah musim ini sejak berhijrah daripada Chelsea pada Jun lalu.
Menjelang final awal pagi esok, pengurus City, Pep Guardiola dijangka terus mengekalkan kesebelasan sama yang menyaksikan juara Eropah itu menewaskan Urawa Red Diamonds 3-0 pada aksi separuh akhir kelmarin.
Tiga gol City yang memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu itu diperoleh menerusi Kovacic, Bernardo Silva serta jaringan sendiri Marius Hoibraten.
“Jika menang (aksi final), ia akan menjadi salah satu detik terindah dalam karier saya kerana bukan mudah untuk anda memenanginya bersama tiga pasukan berbeza.
“Cumanya saya tak fikir kejayaan peribadi. Saya lebih fokus untuk membantu City menjuarai gelaran Piala Kelab Dunia yang pertama pasukan ini dan saya percaya ia tidak mudah,” kata Kovacic. – AGENSI