fbpx

Bukan ‘one hit wonder’, Imran Ajmain bikin konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imran Ajmain kini muncul dengan single baharu berjudul Padam dan Pergi.

SEBUT sahaja nama Imran Ajmain pasti terngiang-ngiang di telinga lagu Seribu Tahun yang sangat meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. 

Tidak dinafikan, lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah lakonan Allahyarham Benji itu masih meniti di bibir ramai dan dianggap malar segar.

Namun, bagi penutup tahun 2023, penyanyi kelahiran Singapura itu kembali mempertaruhkan single baharu berjudul Padam Dan Pergi yang memberi nuansa baharu berbanding naskhah seni muziknya sebelum ini. 

Kata jejaka berusia 42 tahun itu, ilham pembikinan lagu terbabit tercetus apabila melihat semangat pengunjung yang datang ketika acara nyanyian indie selain ingin meneroka jalur seni yang berbeza.

“Padam Dan Pergi adalah pemisahan gaya biasa saya yang mencerminkan perkembangan peribadi dan muzikal untuk saya meneroka stail baharu dalam bunyi serta penceritaan.

“Saya terdetik lancarkan lagu ini setelah setahun menyanyi di acara indie. Terharu penonton hafal dan nyanyikan apa jua lagu yang dipersembahkan. Ini untuk mereka semua,” katanya.

Dalam masa sama, pelancaran lagu kolaborasi bersama komposer muda, Ahmadul Amin itu sejajar perancangan konsert mini keduanya di Singapura pada 12 Januari depan dan juga persembahan berskala sama di Kuala Lumpur pada 2024.

Bunyi segar

“Kolaborasi dengan komposer muda berbakat seperti Ahmadul Amin ini menandakan pemisahan yang ketara daripada karya terdahulu saya dengan persembahan muzik bunyi fast-tempo pop rock yang dipacu petikan gitar elektrik.

“Saya mahu mengajak pendengar melalui perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan yang lebih cerah. 

“Gitar elektrik mengambil peranan utama, menambah dimensi segar kepada repertoire muzikal saya malah Padam Dan Pergi merupakan pengakuan pertumbuhan serta sumpah janji seniman untuk memajukan seninya,” jelasnya. 

Konsert Malam Seribu Tahun Imran Ajmain adalah pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis dan band Malaysia, Singapura, Indonesia yang dipanggil Satu Malam Di Singapura.

Istimewanya, Imran akan mempersembahkan lagu terbaharunya sebagai sorotan malam konsert, menawarkan penggemar pengalaman secara langsung bunyi segar berbeza daripada balada lembut mendayu-dayu yang sinonim dengan jenamanya.

Siri konsert tersebut dianjurkan oleh Elmi Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) dengan kerjasama Gumbira dan A’Art (Singapura) di Victoria Theatre, Singapura.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI