KUALA LUMPUR – Bangunan 60 tingkat milik keluarga seorang bekas menteri kewangan, telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Notis penyitaan bangunan itu bertarikh 18 Disember lalu, disiarkan semalam melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Ia ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
“Bahawa terdapat harta tak alih seperti dalam jadual adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Dengan ini, mengeluarkan notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam jadual tersebut dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.
“Kamu hendaklah serta-merta mencatatkan terma notis ini pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam daftar di pejabat kamu,” kata kenyataan itu.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), sumber terdekat beliau memaklumkan, tindakan sita dibuat susulan bekas anggota Kabinet itu enggan mematuhi arahan agensi penguatkuasaan tersebut.
Menurut sumber itu, bekas menteri yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu enggan mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.
Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan anti-penggubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Bagaimanapun, beliau menolak tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian Renong-UEM.
Dalam perkembangan lain, menara itu adalah tempat pertemuan Majlis Penasihat Kerajaan, yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018
Beliau adalah ketua majlis itu, yang turut merangkumi bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan jutawan Robert Kuok, antara lain.
Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati, tiada pita sitaan dipasangkan pada bangunan terbabit selain syarikat di dalam menara itu juga beroperasi seperti biasa.
Pergerakan keluar masuk pekerja di menara tersebut dilihat dalam keadaan normal dan tiada kawalan ketat membabitkan anggota penguat kuasa pada banggunan itu.
Seorang pekerja syarikat di dalam bangunan tersebut ketika ditemui berkata, beberapa syarikat di dalam banggunan tersebut beroperasi seperti biasa meskipun sedia maklum berhubung notis berkenaan.
“Tiada pergerakan ke arah mengosongkan unit yang kami sedang bekerja sekarang, semuanya masih dalam keadaan normal,” katanya.
Menara Ilham difahamkan mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.-KOSMO! ONLINE.