fbpx

70 peratus pengguna mula terima bekalan air 2 petang ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pembaikan bahagian saluran paip bawah air di Sungai Perai yang bocor selesai pada pukul 5.30 pagi tadi.

BALIK PULAU – Penantian selama 63 jam penduduk di daerah Barat Daya (DBD) khususnya Bayan Lepas dan Teluk Kumbar, di sini untuk mendapatkan bekalan air akan berakhir dalam masa terdekat.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, perkhidmatan bekalan air bagi 70 peratus daripada 120,000 pengguna yang terjejas akan pulih menjelang pukul 2 petang hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan untuk mengapit plat keluli pada bahagian saluran paip bawah air 1,350 milimeter sudah siap pada pukul 5.30 pagi.

“Bekalan air beransur pulih di kawasan DBD dan berhampiran Bukit Dumbar. Bagi mengelak bahagian yang dibaiki pecah, PBAPP mengawal tekanan pam dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua secara beransur-ansur,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dalam pada itu, katanya, bantuan tindak balas kecemasan lori tangki air dari negeri-negeri lain sedang dikerahkan ke kawasan yang terjejas.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi terjejas mendapati urusan perniagaan di gerai dan premis masih berjalan lancar meskipun terdapat sebilangan kecil dilihat menutup sementara operasi sejak semalam.

Ketika ini, masih terdapat penduduk di Bayan Lepas, Batu Maung, Teluk Kumbar, Sungai Ara dan Relau masih mengharapkan bantuan perkhidmatan lori tangki air termasuk ada yang menunggu sejak malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI