ISKANDAR PUTERI – Seorang remaja berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila menjadi mangsa seks seorang lelaki sejak berusia 12 tahun.
Pengalaman pahit yang dialami remaja berusia 18 tahun itu bagaimanapun, berakhir apabila dia tampil memberanikan diri membuat laporan polis terhadap lelaki yang mendakwa bapa tirinya.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek yang berusia 51 tahun itu diberkas sejurus menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini.
Menurutnya, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam, namun tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan itu dan telah diberikan jaminan mahkamah sebanyak RM15,000.
“Mangsa yang kini berusia 18 tahun mendakwa telah menjadi mangsa rogol suspek sejak berusia 12 tahun dan didakwa berlaku di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Rahmat, suspek disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan. – KOSMO! ONLINE