PRAGUE, Republik Czech – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 24 lagi cedera dalam insiden tembakan rambang di Universiti Charles di ibu negara Republik Czech, Prague.
Saluran berita Fox News melaporkan, suspek yang ditembak mati ketika kejadian, merupakan seorang pelajar di universiti tersebut, manakala bapanya juga ditemui mati di lokasi berlainan.
Ketua Polis Prague, Martin Vondrasek berkata, lelaki bersenjata itu membunuh bapanya di kampung halaman mangsa di Hostoun, barat Prague dan dia merancang untuk membunuh diri.
E-mel yang dihantar kepada kakitangan dan pelajar Universiti Charles memaklumkan bahawa penembak itu berada di dalam salah satu bangunannya.
Salah seorang pelajar yang dipindahkan dari bangunan universiti berkata: “Kejadian ini amat menakutkan, terdapat ramai anggota polis menjerit kepada kami sambil mengacukan senjata dan mengarahkan kami berlari ke tempat selamat.”
Polis mendedahkan bahawa serangan itu berlaku di jabatan falsafah universiti berkenaan. Operasi mengesan bahan letupan kemudian dijalankan dan tiada anggota polis cedera ketika kejadian.
Gabenor wilayah Prague, Bohuslav Svoboda berkata, suspek itu mati selepas terjatuh dari bumbung bangunan.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa lebih ramai mangsa berisiko meninggal dunia akibat ditembak.
Menteri Dalam Negeri Czech, Vit Rakusan berkata, tiada penembak lain di lokasi kejadian, tetapi beliau menggesa orang ramai untuk bekerjasama dengan polis. – AGENSI