PETALING JAYA – Selepas dikecam bertalu-talu gara-gara melakukan adegan dipeluk lelaki dalam video teaser sebuah drama, pelakon Zara Zya menyesal dengan perbuatannya.
Zara, 38, memohon maaf atas yang terjadi dan berjanji akan lebih menjaga batas sebagai seorang muslimah bertudung pada masa akan datang.
“Rasa sedikit ralat dan menyesal pun ada juga sebab saya tidak fikir panjang. Sepatutnya benda seperti itu tidak berlaku sekali gus tidak timbul isu sebegini.
“Saya sedar khilaf saya kerana melakukan sesuatu yang tidak manis dengan imej saya.
“Sebagai manusia yang banyak khilaf, saya terlepas pandang hal tidak sepatutnya. Dunia lakonan ini luas kalau saya terangkan, benda akan jadi panjang,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Begitupun, pemilik nama lengkap Zainurul Razia itu berkata, babak tersebut bukan dibuat semata-mata ingin mencetuskan kontroversi.
“Saya tidak tahu akan mengakibatkan perdebatan dalam kalangan penonton. Saya bukan selebriti yang mahu kontroversi.
“Semestinya sedih tetapi nak buat macam mana, mereka yang hilang hormat kepada saya pun manusia biasa juga tetapi jangan terlalu ikut perasaan. Bagi saya peluang kedua untuk betulkan khilaf.
“Saya berterima kasih kepada sesiapa yang menegur dan yang kecam tidak mengapa harap dapat terima dengan hati terbuka,” ujarnya yang ditemui ketika tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur, di sini semalam.
Ditanya sekiranya akan berubah selepas ini, dia akan cuba melakukan sebagai mungkin mengelak sesuatu yang boleh mencemarkan statusnya sebagai muslimah bertudung.
“Namun, saya tidak boleh janji untuk ubah. Risau kalau tidak buat perkara ini mungkin akan cetuskan salah lain.
“Setiap hari akan ada buat salah mungkin sedar atau tidak. Kalau orang tidak tegur saya tidak tahu, tetapi apabila tegur saya mula sedar,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, pelakon drama Risik Pada Hati itu meluahkan rasa gusar dengan tayangan naskah yang dilakonkan bersama Syarul Ezani Mohammed Ezzuddeen kerana terlampau memikirkan pandangan penonton.
“Ini pertama kali saya risau apabila drama ingin keluar kerana memikirkan penerimaan orang tentang watak dan drama tersebut.
“Orang bijak akan nilai watak dengan kehidupan kita. Apa kesalahan saya, saya terima dan minta maaf.
“Saya tidak boleh tutup mulut tempayan dan juga enggan menegakkan benang yang basah,” jelasnya.
Sebelum ini, tular video teaser sebuah drama menunjukkan babak Zara dipeluk oleh Syarul Ezani.
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan adegan terbabit memandangkan penampilan Zara yang kini sudah bertudung. – KOSMO! ONLINE