KUALA LUMPUR – Satu batalion anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ‘turun padang’ menggempur lokasi panas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Silang di sini, hari ini.
Kira-kira 1,000 pegawai dan anggota polis mengepung kawasan itu bermula pukul 11 pagi tadi susulan kebanjiran warga asing yang dilihat semakin ‘besar kepala’ dengan membuka perniagaan selain ‘lagak’ seperti warga tempatan.
Difahamkan, kebanyakan mereka terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas menyedari kepungan mengejut dibuat.
Wartawan Kosmo! yang turut menyertai operasi itu mendapati pegawai dan anggota polis yang lengkap berpakaian uniform dan bersenjata memeriksa setiap premis membabitkan empat blok di lokasi tersebut.
Lebih mengejut, sikap ‘besar kepala’ warga asing itu terbongkar apabila pemeriksaan di salah satu premis mendapati mereka menjalankan perniagaan klinik persendirian dan menyasarkan pelanggan dalam kalangan rakyat asing.
Turut ditemukan pelbagai jenis ubat-ubatan dipercayai dari Bangladesh yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketika pemeriksaan dijalankan, premis tersebut tidak berpenghuni.
Malah, serbuan turut menemukan premis yang dijadikan bilik sewa dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik dipercayai dihuni warga asing.
Difahamkan, setakat pukul 1 tengah hari, sekurang-kurangnya 500 warga asing telah diberkas dan dibawa Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.- KOSMO! ONLINE.