KAJANG – Tambang percuma pengangkutan awam kepada pengguna orang kurang upaya (OKU) termasuk LRT, Monorel, MRT dan bas di bawah kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di seluruh negara akan dilaksanakan pada 1 Februari nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi golongan yang berkelayakan untuk inisiatif itu, mereka perlu membuat permohonan untuk mendapatkan pas konsesi khas bagi menggunakan khidmat tersebut secara percuma.
“Kita perlukan sedikit masa untuk menggubah beberapa sistem termasuk sistem tiket dalam tempoh sebulan ini.
“Pas konsesi ini adalah lebih baik daripada sebelum ini yang menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas penumpang OKU manakala terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika Majlis Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita MRT Laluan Kajang hari ini.
Dalam pada itu, tambah beliau lagi, Rapid KL dan Rapid Penang turut menyediakan perkhidmatan van khusus kepada golongan OKU yang dikenali sebagai Rapid Mobility.
Katanya, van khas tersebut dilengkapi beberapa kemudahan bagi golongan tersebut termasuk lif hidraulik bagi memudahkan penumpang berkerusi roda menaiki kenderaan dengan mudah.
“Menerusi perkhidmatan ini penumpang akan dihantar ke destinasi dengan harga yang berpatutan dan pelaksanaan inisiatif ini selari dengan prinsip ihsan dalam konteks Malaysia Madani,” katanya. -KOSMO! ONLINE