KUALA LUMPUR – Suami tayang badan demi tuntutan kerjaya sebagai pelakon, penyanyi Zizi Kirana tidak meletakkan sebarang syarat mahupun larangan terhadap lelaki bernama Yusuf Bahrin itu.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Nur Fazelah Mat Tahir itu menzahirkan rasa syukur apabila teman hidupnya itu melibatkan dirinya dalam setiap perbincangan terutama membabitkan hal kerja.
“Saya tidak pernah melarang atau meletakkan syarat terhadap Yusof dalam hal melibatkan kerjaya disebabkan saya percayakan dirinya.
“Namun dia rajin bertanya atau memaklumkan kepada saya apa yang terjadi seperti adegan buka baju di sebuah filem baharunya. Kadang kala dia rajin beritahu apa yang terjadi di set agar saya tidak risau.
“Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang menghargai dan menghormati sekali gus membuatkan kepercayaan kami semakin kuat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Memahami tugas seorang aktor, pelantun lagu Eh itu cuba sedaya upaya untuk tidak mengganggu suaminya ketika sedang bekerja kecuali jika berlaku kecemasan yang memerlukan respons segera.
“Saya memang jenis tidak akan telefon atau mesej Yusuf ketika dia sedang bekerja. Saya tidak mahu mengganggu fokusnya kerana saya juga begitu jika sedang bekerja.
“Cuma saya hanya akan telefon atau mesej sekiranya berlaku kecemasan. Itu sahaja. Selebihnya saya biarkan dia bekerja dan jayakan watak yang digalas dengan sempurna tanpa gangguan.
“Kalau Yusuf balik, barulah di bercerita tentang apa yang berlaku di set penggambaran dan benda-benda lain,” katanya pada majlis Malam Gala The Lord Musang King, baru-baru ini.
Dalam filem The Lord Musang King, Yusuf memegang watak sebagai Haikal, anak pekebun durian yang berjaya namun diperdaya dan dipenjarakan.
Terdapat babak yang menuntut Yusuf untuk membuka baju demi menjadikan watak dan situasi itu tidak janggal.
Filem yang menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea itu merupakan kolaborasi pertama Malaysia dan Korea Selatan. – KOSMO! ONLINE