SAN FRANCISCO – Berpuluh-puluh ribu pengguna laman sosial X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, melaporkan gangguan ketika menggunakan rangkaian sosial milik Elon Musk tersebut hari ini.
Laporan tentang masalah platform sosial itu melonjak menjelang pukul 2 petang (waktu Malaysia) di laman web pemantauan, Downdetector.
“Laporan pengguna menunjukkan terdapat masalah di X (Twitter),” kata laman web itu.
Garis masa pada platform X dikosongkan dan tiada siaran baharu kelihatan, walaupun laman sosial twitter.com masih boleh dilawati.
Berikutan tiada cara untuk memuat naik status di laman X, pengguna media sosial menerbitkan kemas kini tentang gangguan itu dalam platform saingannya termasuk Facebook, Threads dan Reddit.
Platform X menyambung semula perkhidmatan untuk pengguna di beberapa negara sejurus selepas pukul 2.40 petang (waktu Malaysia).
Ketika kemuncak gangguan, Downdetector menunjukkan bahawa kira-kira 67,000 pengguna X di Amerika Syarikat melaporkan masalah tersebut .
Gangguan itu turut menjejaskan X Pro, yang dahulunya dikenali sebagai TweetDeck.
Tiada ulasan segera daripada X, mahupun sebarang petunjuk tentang punca gangguan tersebut. – AFP