KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 15 tahun selain meminta mangsa meliwatnya dua minggu lalu.
Tertuduh, Che Rahim Sidik, 56, yang juga bekas pekerja membuat produk batik mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Che Rahim didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 15 tahun dua bulan.
Tertuduh juga dituduh meminta mangsa yang sama untuk meliwatnya.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di daerah ini pada pukul 8 pagi, 6 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 14 (d) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Bakri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Akmal tidak menawarkan sebarang jaminan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi lelaki itu.
Mahkamah menetapkan tarikh 21 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE