BALIK PULAU – Pengguna air di daerah Barat Daya semakin dibelenggu keresahan apabila lebih 40 jam berdepan gangguan bekalan air luar jangkaan, sejak Selasa lalu.
Antara kawasan yang paling terkesan adalah di Bayan Lepas, Bukit Gedung, Sungai Ara dan Teluk Kumbar .
Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan dan perumahan flat, apartment serta teres dikatakan mula berdepan gangguan bekalan air bermula pukul 10 malam kelmarin.
Seorang penduduk Bayan Lepas, Asiah Alim, 42, berkata, dia terpaksa mengambil cuti kecemasan selama sehari disebabkan masalah ketiadaan yang berlarutan lebih 24 jam.
Menurutnya, keadaan berlaku di luar jangkaan menyebabkan segala rutin harian mereka tertangguh.
“Tak sangka keadaan ini (gangguan bekalan air) berlarutan sampai lebih 40 jam, sejak pukul 10 malam kelmarin. Sudahlah musim cuti sekolah, semua anak-anak ada di rumah.
“Kami hanya bergantung dengan air simpanan di kolah. Itupun hanya cukup beberapa jam sahaja lagi manakala air dalam tangki simpanan sudahpun habis digunakan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Haris Abdullah, 46, memberitahu, dia terpaksa mengangkut air kira-kira tiga kilometer dari sebuah sungai di Sungai Ara ke rumahnya di Bayan Lepas, sejak semalam.
“Ini baru dua hari, tak dapat bayangkan nanti semua penduduk di negeri ini berdepan gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 10 Januari depan.
“Memang azab jika hidup tanpa bekalan air lebih 24 jam. Kami mempunyai bilangan keluarga yang ramai iaitu lapan orang termasuk lima anak dan seorang ibu warga emas.
“Jika bekalan air masih berlarutan sehingga esok, saya terpaksa bawa mereka pulang ke kampung di Kedah atau menginap di mana-mana hotel bajet di kawasan yang tidak terjejas di negeri ini. Mungkin di kawasan Seberang Perai,” ujarnya.
Terdahulu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, keadaan air Sungai Perai yang berbahaya telah melewatkan kerja-kerja pembaikan saluran paip di bawah dasar sungai itu yang sepatutnya dijangka pulih antara pukul 1 hingga 3 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 200,000 pengguna air di daerah Barat Daya dan Seberang Perai berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan berlaku kejadian paip sepanjang 1,350 milimeter yang pecah di dasar Sungai Perai, Isnin lalu -KOSMO! ONLINE