ROM – Sepasang kekasih di Itali terselamat dalam dua kemalangan pesawat berasingan pada hari sama dengan jarak lokasi nahas sejauh 40 kilometer, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Stefano Pirilli, 30 dan tunangnya, Antonietta Demasi, 22, menaiki dua pesawat ringan untuk perjalanan makan tengah hari bersama rakan mereka di Turin, Itali pada Ahad lalu.
Semasa perjalanan pulang, kedua-dua pesawat terbang ketika matahari terbenam dalam persekitaran gelap dan berkabus.
Dua pesawat itu kemudian terhempas ketika menghampiri daratan. Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan serius. Antonietta dilaporkan cedera ringan pada bahagian paha.
“Kami bergelut dengan cuaca buruk dan fmasa. Kabut mula muncul ketika suhu rendah dan malam menjelma. Kami memutuskan untuk mendarat di Busano dan menelefon Antonietta supaya mendarat di San Gillio.
“Ketika menuju ke landasan, kami diselubungi kabut dan kegelapan sebelum terhempas di kawasan padang rumput,” kata Pirilli.
Selepas kemalangan, anggota bomba bergegas ke kedua-dua lokasi kejadian. Kesemua penumpang dan juruterbang dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan. – AGENSI