KUALA LUMPUR – Menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebelum menipu nombor telefon mangsa akan dibatal kerana kononnya terdapat aduan pautan haram serta mesej penipuan.
Itu antara modus operandi digunakan oleh sindiket kes penyamaran pegawai NSRC yang direkodkan dalam 25 laporan polis diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejak Januari tahun ini sehingga kini, kes penyamaran tersebut melibatkan nilai kerugian lebih RM729,995.
Ujarnya, setelah mangsa sudah tertipu dan merelakan diri oleh ‘pegawai’ tersebut, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya untuk tujuan siasatan.
“Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
“Orang ramai diingatkan, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan dari orang ramai. Ia adalah berbentuk ‘one way communication’ sahaja.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Justeru, sebarang panggilan yang mengaku dari pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ramli, bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan lebih tinggi.
“Dalam masa yang sama PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan dari individu yang tidak dikenali.
“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE