PETALING JAYA – Penganjuran Kejohanan Ragbi Mannol Malaysia Sains Kedah 10 Sebelah (10’s) bawah 15 tahun (B15) Kebangsaan berlangsung baru-baru ini mencapai objektifnya dalam misi mencungkil minat pemain-pemain muda dalam sukan itu.
Pengarah kejohanan, Mohamad Zelman Mohamoud berpandangan kejohanan selama dua hari di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SMSSMJ), Sungai Petani, Kedah itu juga menjadi platform terbaik mempromosikan pembangunan ragbi peringkat akar umbi.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana kejohanan berjalan dengan lancar dalam suasana yang meriah seperti ‘pesta’ ragbi. Matlamat kejohanan juga dirasakan tercapai dengan sangat berjaya.
“Pasukan-pasukan kuat dari serata negara bersaing sengit dan pasukan-pasukan pembangunan dan baru turut diraikan. Kesemua 24 pasukan bertanding diberikan pingat atas semangat menghargai penyertaan mereka menimba pengalaman,” katanya.
Zelman yang juga Pengarah Pembangunan Ragbi Sains Kedah (SK) Eagles tidak menolak kemungkinan sedia meneruskan penganjuran sedemikian bagi memastikan pemain-pemain muda terus didedahkan dengan suasana pertandingan di peringkat awal.
“Kejohanan ini amat dibanggakan oleh seluruh warga SMS Sultan Mohamad Jiwa yang dulunya dikenali sebagai Sains Kedah. Ia sempena Jubli Emas sekolah tahun ini.
“Kerjasama antara pihak sekolah, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), alumni, pelajar dan seluruh warga sekolah amat sepakat yang menjadi sebab utama kejayaan penganjuran ini,” jelasnya.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tiga (Akademi Ragbi Selangor) menjuarai kategori Cup selepas menewaskan Hosba Dragons (Akademi Ragbi Darul Aman) 10-7 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh sengit.
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) meraih tempat ketiga kategori Cup menewaskan Semashur Zealord 7-0.
Enam lagi kategori dipertandingkan menyaksikan Lunas Lycans A menjuarai Plate; Sekolah Menengah Sains Tapah (Bowl); Sains Kedah Eagles B (Shield); TP WASPS (Spoon) dan Sains Kedah Eagles A (Saucer). – KOSMO! ONLINE