GEORGE TOWN – Keadaan semasa air Sungai Perai, dekat sini telah melewatkan kerja-kerja pembaikan saluran paip di bawah dasar sungai itu yang sepatutnya dijangka pulih antara pukul 1 hingga 3 pagi tadi.
Ketika ini, pengguna air terutama di daerah Barat Daya masih berdepan gangguan bekalan air hampir 37 jam, sejak pukul 10 malam kelmarin.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menerusi kenyataan di Facebook berkata, keadaan sungai yang berbahaya telah melewatkan kerja-kerja pembaikan saluran paip bawah air di Sungai Perai.
Menurutnya, normalisasi bekalan air kepada 95 peratus daripada 200,000 pengguna air yang terjejas akibat gangguan bekalan air dijadualkan semula antara 12.00 tengah hari dan 1.00 tengah hari, hari ini.
“Sejak pukul 9.00 malam tadi, pasukan penyelam yang bertugas di Sungai Perai berhadapan dengan air deras dan keadaan di bawah permukaan yang keruh menyebabkan berhenti bekerja selama kira-kira 2 jam malam tadi dan memperlahankan kemajuan kerja.
“Atas pertimbangan keselamatan, pasukan penyelam pakar tidak boleh bekerja seperti yang dijadualkan apabila keadaan tidak mengizinkan.
“Pada ketika ini, tidak dapat dipastikan bila keadaan sungai akan bertambah baik. Bagaimanapun, para penyelam akan terus berusaha untuk bekerja semalaman,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 200,000 pengguna air di daerah Barat Daya dan Seberang Perai berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan berlaku kejadian paip sepanjang 1,350 milimeter yang pecah di dasar sungai Sungai Perai. -KOSMO! ONLINE