fbpx

Kalau lari 6.59s, ibarat catat masa 9.99s – Azeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (dua dari kanan) dijadualkan menghadapi 29 kejohanan dalam tempoh tujuh bulan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024. - AFP

PETALING JAYA – Bintang pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi meletakkan sasaran awal bagi menilai potensi dirinya sama ada mampu mencapai tahap 90 peratus layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Azeem, 19, mendedahkan, peluangnya untuk mencapai had kelayakan 10 saat (s) untuk 100 meter (m) di Paris tahun depan dilihat amat cerah jika dia berjaya merekodkan catatan masa bawah 6.60s bagi acara 60m dalam dewan.

Justeru, jaguh pecut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu mahu melihat kemampuannya apabila turun menghadapi perlumbaan dalam dewan pertamanya tahun depan dijadualkan di Arkansas pada 29 Januari ini.

“Saya sasarkan lari bawah 6.60s kerana kalau berjaya, saya boleh beritahu diri saya sudah bersedia 90 peratus untuk lari bawah 10s. Kalau berjaya lari 6.59s, ibaratnya lari 9.99s (untuk 100m).

“Itu adalah matlamat utama saya untuk saingan dalam dewan tahun depan. Saya akan cuba yang terbaik untuk layak ke Olimpik Paris secara merit,” kata atlet berasal dari Teluk Intan, Perak itu.

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s itu akan menjadi pelari pecut pertama negara layak merit ke Olimpik selepas 23 tahun sejak Watson Nyambek melakukannya di Sydney, Australia pada 2000.

Bagi merealisasikan impian itu, Azeem yang meraih pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou di China, akan menghadapi 29 perlumbaan sepanjang tempoh tujuh bulan sehingga tempoh kelayakan berakhir 30 Jun tahun depan.

Azeem langsung tidak berasa tertekan kerana 29 kejohanan yang sudah diatur jurulatihnya, Ken Harnden adalah perkara biasa dan merupakan proses perlu dilaluinya untuk layak secara merit ke Paris.

“Ada lebih kurang 29 perlumbaan dalam tempoh tujuh bulan sampai ke Olimpik. Saya tidak rasa ia satu masalah, tetapi saya berharap dapat lari 10s dalam tempoh kejohanan-kejohanan itu,” jelasnya.

Sebagai info, Azeem turut memegang rekod 60m dalam dewan kebangsaan menerusi catatan 6.63s di Texas awal Januari lalu, memadam catatan lama 6.66s yang dilakukan oleh Watson pada Kejohanan Dunia 1999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI