fbpx

Buruh liwat remaja dijel 8 tahun, dua sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Che Wan Mohd. Fadil (dua dari kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seorang buruh dipenjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan meliwat rakan lelakinya yang berusia 15 tahun di Pasir Puteh dekat sini sejak tiga bulan lalu.

Tertuduh, Che Wan Mohd. Fadil Che Wan Noh, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat seorang remaja berumur 15 tahun enam bulan kira-kira pukul 2 pagi pada 26 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Che Wan Mohd. Fadil didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama kira-kira pukul 3 pagi pada 10 Oktober lalu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Dalam Rhu, Pasir Puteh dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 7926) dan memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu agar hukuman yang ringan diberikan kepadanya.

Abu Arsalnaa bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Tertuduh melakukan satu kesalahan serius terhadap mangsa yang masih lagi bawah umur. Mangsa juga masih mentah dan tidak memahami kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh terhadapnya.

“Kanak-kanak sepatutnya dilindungi daripada perkara-perkara seperti ini. Jadi, saya mohon hukuman setimpal diberikan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI