GEORGE TOWN – “Kadangkala saya tak sampai hati tengok (keadaan) dia (anak). Dahulu (sebelum sakit) dia aktif, apabila jadi macam ini (terlantar sakit), rasa sedih sangat.”
Itu kata Sedek Pawan, 61, mengenai nasib yang menimpa anaknya, Muhammad Zikri, 29, yang koma akibat ditimpa kemalangan motosikal kira-kira enam bulan lalu.
Menurut Sedek, keadaan anak kelima daripada lapan beradik itu ketika ini masih tidak banyak berubah sejak dirawat di rumah lebih dua bulan lepas.
“Dia sama seperti sebelum ini. Kalau kami panggil nama, dia akan buka mata. Dia boleh tengok kami tapi dengan pandangan kosong,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Jalan Kedah, di sini baru-baru ini.
Sedek yang kini tidak lagi mempunyai pendapatan dan hanya menerima elaun kerana berkhidmat sebagai tok siak berkata, anaknya itu juga sering berulang alik ke hospital beberapa kali sebulan dengan ambulans.
“Cuma kali ini doktor ada beritahu tangan Zikri yang patah akibat kemalangan itu buat masa ini memang tak boleh buat apa-apa.
“Kata doktor lagi, tempurung kepala anak saya mungkin akan dipasang terlebih dahulu sebelum tangan dia dibedah untuk dimasukkan besi.
“Apapun, saya percaya semua prosedur rawatan ini akan mengambil masa yang lama sebelum dibuat,” ujarnya.
Tambahnya, Muhammad Zikri juga mula dijangkiti sejenis penyakit kulit yang menyebabkan pertumbuhan biji-biji kecil pada badan ketika ini, namun keadaan anaknya itu tidak begitu membimbangkan.
Dalam pada itu, Sedek berterima kasih kepada Kosmo! kerana menyiarkan kisah kehidupan anaknya sebelum ini sehingga keluarga mereka menerima pelbagai bantuan orang ramai terutamanya melibatkan sumbangan kewangan.
“Setakat ini, kami cuma mengambil sekali sahaja wang tersebut di bank untuk kegunaan rawatan dan ubat-ubatan Zikri.
“Insya-Allah, sumbangan yang diberikan itu akan kami guna dengan sebaiknya untuk merawat anak kami,” katanya.