WASHINGTON – Amerika Syarikat(AS) membebaskan sekutu Presiden Venezuela, Nicolas Maduro sebagai pertukaran untuk 10 tahanan AS dan seorang rakyat Malaysia yang menjadi buruan Washington, ‘Leonard Gemuk’ dalam perjanjian pertukaran tahanan antara kedua-dua negara semalam.
Presiden Joe Biden membuat ‘keputusan yang sangat sukar’ untuk membebaskan Alex Saab yang merupakan orang kepercayaan Maduro. Dia dituduh melakukan pengubahan wang haram untuk Caracas, kata beberapa pegawai AS.
Sebagai balasan, Venezuela menyerahkan Leonard Gemuk atau nama sebenarnya, Francis Leonard Glenn yang dituduh menjadi dalang skandal rasuah terburuk melibatkan Tentera Laut AS. Venezuela juga membebaskan 20 tahanan politik tempatan dan 10 rakyat AS.
Washington yang meredakan tekanan ke atas kerajaan Caracas, bersetuju pada Oktober lalu untuk mengurangkan sekatan minyak dan gas.
Biden mempertahankan perjanjian pembebasan tahanan tersebut dan menafikan ia boleh menggalakkan kerajaan negara-negara lain untuk menahan rakyat AS.
“Kami membebaskan rakyat Amerika yang ditahan secara haram dan kami membuat perjanjian dengan Venezuela supaya mereka mengadakan pilihan raya bebas. Itu sahaja,” katanya kepada wartawan di White House.
Perjanjian itu dimeterai dengan bantuan negara Teluk, Qatar yang memainkan peranan sebagai orang tengah.
Leonard Gemuk yang ditangkap dan dikembalikan oleh Venezuela, ialah seorang kontraktor tentera. Dia melarikan diri dari tahanan dalam rumah di California pada September 2022 dengan memotong tag GPSnya.
Warganegara Malaysia itu mengaku bersalah pada 2015 kerana menawarkan rasuah kira-kira AS$500,000 (RM2.3 juta ) kepada pegawai-pegawai Tentera Laut AS untuk mengarahkan kerja rasmi ke limbungan kapalnya dan kemudian mengenakan bayaran berlebihan mencecah AS$35 juta (RM162.7 juta). – AFP