PETALING JAYA – Lama tidak muncul menghiburkan peminat, penyanyi Ainan Tasneem meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert mini bersama rakan baiknya Tasha Manshahar tahun hadapan.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Ainan Tasneem Redzuan itu berkata, dia mahu konsert tersebut hanya dibuka untuk penonton dalam kalangan kaum hawa sahaja.
“Kalau Ainan dengan Tasha Manshahar ada rancangan nak buat macam mini konsert tahun depan, korang nak datang tak?
“Kita buat yang tertutup punya. Hanya untuk perempuan sahaja. Kita akan berhibur bersama-sama sambil kami menyanyi beberapa lagu.
“Ada sesi borak-borak nanti, kita buat secara santai, lebih dekat dan mudah untuk beramah mesra dengan kalian,” katanya menerusi sebuah video dalam TikTok.
Bukan itu sahaja, pelantun Aku Suka Dia itu memberitahu konsert tersebut juga akan diselitkan tazkirah daripada ustazah bertauliah sebagai santapan rohani sambil berhibur.
“Paling penting kita akan selitkan juga tazkirah dari mana-mana ustazah atau orang yang layak.
“Semoga Allah reda dengan majlis kita tu nanti, sambil berhibur sambil mendapat ilmu, santai tapi penuh pengisian,” ujarnya.
“Ramai peminat minta Ainan buat konsert, bila fikir macam mengapa tidak kan? Janji yang datang semua perempuan. Kalian ‘on’ ke tak?,” soalnya kepada peminat.
Penyanyi berusia 31 tahun itu mula meledak dalam industri muzik tanah air menerusi lagu Aku Suka Dia sekitar tahun 2023 bahkan lagunya itu meraih lebih 20 juta tontonan dalam Youtube.
Pada tahun 2017, Ainan telah menamatkan zaman bujang dan memutuskan untuk menarik diri daripada bidang nyanyian kerana ingin fokus terhadap keluarga. – KOSMO! ONLINE