NYON – Pengarah Sukan Barcelona, Deco menganggap Barcelona tidak bernasib baik apabila diundi menentang Napoli pada pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara yang dijadualkan berlangsung 13 Februari dan 5 Mac depan.
Beliau menganggap Napoli bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah memandangkan mereka memegang status sebagai juara Serie A selain prestasi semasa Barcelona yang masih terumbang-ambing.
Justeru, Deco berharap pemain-pemain The Catalans bersiap sedia dan tahu apa yang perlu dilakukan pada pertemuan itu nanti sekiranya mereka berhasrat untuk melangkah ke pusingan suku akhir.
“Nampaknya tuah langsung tidak memihak kepada kami pada undian hari ini (kelmarin). Kita semua tahu bahawa Napoli adalah juara Serie A dan memiliki ramai pemain yang sangat berkualiti.
“Sekarang terpulang kepada kami untuk melakukan persiapan sepenuhnya sebelum hari perlawanan itu tiba. Kami perlu fokus pada diri sendiri dan jangan terlalu fikirkan mengenai pasukan lawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melaungkan keyakinan bahawa Barcelona memiliki masa mencukupi untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada bagi memastikan mereka dapat merobek pintu gol Napoli nanti.
“Kami tahu aksi kami tidak konsisten kerana gagal mengekalkan rentak kemenangan. Bagaimanapun, keyakinan dalam pasukan masih tinggi dan saya yakin pemain-pemain boleh ubah keadaan ini,” ujar Deco. – AGENSI