fbpx

Tipu pendapatan, mengaku B40 untuk anak masuk MRSM – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ada segelintir ibu bapa sanggup menipu pendapatan dengan mengaku sebagai golongan B40 agar anak mereka diterima belajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata tindakan itu seolah-olah mengambil hak pelajar miskin.

Malah katanya, tindakan itu juga menyebabkan pelajar itu mendalami ilmu dalam keadaan tiada keberkatan.

“Usahlah menipu pendapatan hanya untuk dikategorikan B40 supaya anak diterima MRSM.

“Kesian kepada anak-anak yang belajar dalam keadaan tiada keberkatan akibat mengambil hak orang miskin yang lain,” katanya dalam satu perkongsian di laman Facebook.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman Facebook bersetuju dengan kenyataan Asyraf dan menggesa ibu bapa yang berbuat demikian menghentikan segera perbuatan mereka.

“Ramai yang macam tu, sama jugalah dengan zakat, pakai kereta luar negara tapi dapat bantuan zakat,” tulis Suzzalina Anuar.

“Kalau ada slip gaji boleh tahu pendapatan berapa yang tidak ada slip gaji macam mana nak tahu dia menipu atau tidak,” soal Siti Hajar Ismail.

Pada masa sama, pengguna juga menyeru kerajaan supaya kerajaan memansuhkan sistem ‘kasta’ pendapatan supaya semua golongan berpeluang mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Sepatutnya kasta-kasta T20, M20, B40 dimansuhkan, ikut merit dan kebolehan pelajar. Andai terbaik ambillah tak kira T20 atau B40.

“Semua ada hak untuk mendapatkan tempat belajar terbaik, andai hanya pilih pelajar B40 saja tentulah tidak adil pada pelajar T20 yang pintar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI