BANGKOK – Beberapa pekerja di sebuah kilang kitar semula di daerah Si Racha, Chonburi, Thailand menemui dua kaki manusia yang reput setelah ia dihantar dari Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita The Nation semalam.
Kedua-dua kaki itu ditemui dalam penghantaran kertas kadbod kitar semula.
Balai Polis Si Racha telah dimaklumkan mengenai penemuan mengerikan itu pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) semalam.
Polis bergegas ke tempat kejadian bersama pegawai-pegawai dari Yayasan Piew Yiew Thai Si Racha.
Anggota-anggota polis memeriksa kedua-dua kaki manusia itu dengan salah satunya masih tersarung kasut sniker hitam.
Pekerja-pekerja itu membuat penemuan yang mengerikan itu semasa mereka menyusun kertas.
Kaki tersebut dihantar ke Institut Sains Forensik di Hospital Polis untuk pemeriksaan lanjut. – AGENSI