ALOR SETAR – Cuti sekolah yang bermula sejak 15 Disember lalu menyaksikan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini, mengalami kesesakan luar biasa sejauh beberapa kilometer.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, setakat kelmarin, seramai 78,301 pengembara keluar dan masuk menggunakan pintu sempadan tersebut.
Katanya, jumlah itu dijangka terus meningkat sepanjang musim cuti sekolah dan perayaan Krismas hujung minggu ini.
“Kesesakan ini berlaku disebabkan orang awam ingin habiskan masa cuti bersama keluarga. Biasanya mereka memilih untuk ke Hatyai yang dikatakan menjadi syurga makanan kepada pelancong Malaysia.
“Kesesakan ini dijangka terus meningkat sepanjang musim cuti sekolah dan perayaan Krismas nanti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bagi berdepan keadaan itu katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa melakukan persediaan rapi untuk melancarkan urusan termasuk dengan membuka antara empat hingga enam kaunter kenderaan pada satu-satu masa, bergantung kepada keperluan.
“Dalam masa sama, saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merancang waktu perjalanan dan menyemak dokumen diperlukan bagi mengelakkan berlaku sebarang kesulitan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, jumlah pengembara yang keluar dan masuk ke negara ini di Kompleks ICQS Kota Putra, Durian Burung turut meningkat sepanjang cuti sekolah ini.
Katanya, sehingga semalam seramai 4,379 individu menggunakan laluan untuk keluar dan masuk melalui ICQS tersebut.
“Biasanya tidak ramai yang melalui ICQS Kota Putra tetapi sejak bermulanya cuti sekolah, jumlahnya meningkat. Mungkin ada dalam kalangan rakyat negara ini sanggup melalui jalan jauh sedikit untuk ke
Hatyai semata-mata bagi mengelak kesesakan di Bukit Kayu Hitam.
“Selain itu, ada juga dalam kalangan rakyat kita yang tinggal di utara tanah air menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas ke Kelantan. Mereka akan keluar ke Thailand melalui ICQS Kota Putera dan masuk semula ke negara ini menerusi ICQS Rantau Panjang di Kelantan,” katanya.