KUALA LUMPUR – Pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kini kembali menjadi barangan keperluan pengguna apabila ramai mula mencarinya di kedai-kedai termasuk farmasi.
Keadaan ini disebabkan kalangan rakyat Malaysia mula berjaga-jaga selepas peningkatan mendadak kes Covid-19 yang dilaporkan ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di beberapa farmasi sekitar Lembah Klang mendapati, stok bagi pelitup muka dan cecair pembasmi kuman masih mencukupi, namun difahamkan agak terhad kerana permintaan semakin bertambah.
Seorang pembantu farmasi di Lembah Pantai yang mahu dikenali sebagai Lilis, 26, berkata, permintaan terhadap pelitup muka semakin bertambah sejak minggu lalu setelah kadar jangkitan Covid-19 makin meningkat.
“Permintaan pelitup muka memang tinggi, setiap hari ada sahaja pelanggan yang datang ke sini, ditambah hari ini (semalam) gaji bagi penjawat awam.
“Ada yang beli dalam kuantiti banyak mungkin untuk persediaan mereka pergi bercuti. Stok pelitup muka dan pembasmi kuman agak terhad sebab kami sudah lama tidak tambah stok.
“Untuk farmasi kami, tempahan sudah dibuat, namun difahamkan penghantaran agak perlahan kerana permintaan daripada pekedai atau farmasi lain juga agak tinggi ketika ini,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pembantu farmasi di Petaling Jaya, Tan Yeh Leu, 24, berkata, buat masa ini kit ujian Covid-19 merupakan barangan yang paling laris di mana-mana farmasi sehingga ada farmasi yang sudah kehabisan stok.
“Kit ujian itu paling laku, stok kami pun sudah semakin kurang. Permintaan memang tinggi sejak awal bulan lalu.
“Bagi harga pelitup muka, sehingga kini kami masih kekalkan dengan harga lama dan apungan yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini. Harga bergantung kepada jenis, kuantiti serta jenama pelitup muka.
“Harga serendah RM5.90 hingga jenama paling mahal cecah RM35.50 bagi 50 helai,” ujarnya.
Selain itu, seorang pekerja farmasi, Sarah Jamali, 21, berkata, orang ramai memang cakna dengan kesihatan membabitkan penularan jangkitan Covid-19 ketika ini.
“Sejak situasi Covid-19 semakin serius kebelakan ini, pelanggan saya lebih mengambil berat tentang kesihatan mereka.
“Stok semasa kami tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada pelanggan tetapi jika peningkatan ini berterusan, kemungkinan besar kami akan menambah lebih banyak stok,” ujarnya.
Peniaga dalam talian yang ingin dikenali Jibril, 30, berkata, dia gembira dengan peningkatan drastik dalam penjualan pelitup muka di kedainya.
Tambahnya, permintaan tinggi pelanggan menyebabkan stok pelitup muka yang dijual di kedainya semakin menipis ketika ini.