fbpx

Pilih Axiata Arena, tiada kaitan isu jumlah penonton – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung Mac 2024 sudah diputuskan sejak beberapa bulan lalu.

CYBERJAYA – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bakal mengadakan konsert 9 Mac tahun depan menegaskan pemilihan Axiata Arena sebagai lokasi persembahan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Siti, dia sedia maklum ada pihak menyangka konsert yang diberi nama Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza itu bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan beberapa isu yang dibagkitkan pihak tertentu sebelum ini.

“Soal lokasi konsert ini memang sudah ditentukan sejak awal perancangan lagi iaitu beberapa bulan lalu. Justeru, tiada kaitan dengan dakwaan mahu menyaingi mana-mana persembahan mega lain yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

“Pemilihan Axiata Arena adalah muktamad, malah tiket bagi menyaksikan konsert solo saya ini juga akan dijual bermula esok. Perincian lanjut akan dikongsikan dalam sidang media khas,” ujarnya ketika ditemui HibGlam hari ini.

Semalam, selepas penyanyi berusia 44 tahun itu membuat pengumuman mengenai konsert tersebut, ramai peminat memintanya  mengadakan persembahan mega itu di lokasi lebih besar iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebelum itu, kejayaan band Coldplay menghimpunkan 75,000 peminat di stadium berkenaan bulan lalu meletakkan konsert Siti Nurhaliza Live In Concert 2004 di tangga kedua untuk persembahan mega paling ramai penonton.

Begitupun, Siti meminta tidak mengaitkan namanya dengan sebarang perkara yang berpotensi mengundang reaksi kurang senang orang ramai.

Kali terakhir penyanyi nombor satu negara itu mengadakan konsert solo adalah pada 2019 yang berkonsepkan siri jelajah di Kuala Lumpur, Indonesia dan Singapura.

Sementara itu, mengenai pembabitannya dalam program Master Class: Evolution Expert anjuran Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, di Kampus Universiti Malaya Cyberjaya, Siti berkata, itu antara caranya menghargai sokongan masyarakat terhadapnya selama ini.

Menerusi program perkongsian ilmu dan pengalaman itu, pelantun lagu  Sehebat Matahari berkenaan mengupas perjalanan hidupnya sebagai anak seni dan usahawan.

Malah, antara pengisian sepanjang dua sesi pagi dan petang yang merangkumi lima modul itu, Siti turut menyentuh nostalgia konsert pertama sewaktu berusia 20 tahun.

“Konsert pertama berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 30 Oktober 1999 yang mana saya menggunakan wang sendiri untuk meraih keyakinan ramai. Ini kerana, saya perlu membuktikan keupayaan saya.

“Pengalaman waktu itu tidak banyak tapi disebabkan keinginan yang tinggi dan kesungguhan, saya cuba melakukan yang terbaik. Apatah lagi saya dididik barisan guru yang hebat termasuk Allahyarham Pak Ngah.

“Jadi, banyak benda saya cuba buat sendiri, di mana saya main perkusi, menari dan sebagainya bahkan saya tak sangka sambutan peminat sangat luar biasa,” ujarnya.

Selain itu kata ibu kepada dua cahaya mata itu, sebuah lagi persembahan mega yang mempunyai nilai sentimental kepada dirinya adalah di London pada 1 April 2005.

“Satu lagi konsert paling gah ketika saya belum berkahwin adalah di Royal Albert Hall sempena ulang tahun ke-10 dalam industri muzik,” katanya.

Program yang julung kali dianjurkan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya itu mencungkil kisah pencapaian dan kejayaan selebriti, pengacara televisyen serta pengamal media untuk dikongsikan dengan peserta program sebagai panduan serta pemahaman.

Program yang berlangsung sejak 2 Disember lalu itu turut menampilkan pengacara, Amin Idris dan Farrah Deeba serta pelakon Esma Daniel dan Mubarak Majid, selain wartawan Elly Van Dalen menerusi empat sesi Master Class. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI