JAKARTA – Seorang penjual donat jalanan di Pulau Bali sekali lagi mengundang perhatian netizen selepas menerima hadiah berupa wang tunai dan sebuah rumah daripada lelaki yang pernah dibantunya sebelum ini, lapor laman berita Detik semalam.
Ni Luh Sri Wulandari, 27, pernah tular kerana memberikan tiga biji kuih donat percuma kepada seorang lelaki warga Amerika Syarikat, Isaiah Garza tanpa menyedari Garza ialah seorang pesohor media sosial.
Garza ketika itu berpura-pura tidak mempunyai wang dan meminta sebiji kuih donat daripada Ni Luh untuk dimakan.
“Kita perlu saling membantu,” kata Ni Luh ketika ditanya mengapa dia bermurah hati memberikan tiga biji donat kepada lelaki tersebut.
Mendengar jawapan itu, Garza menghulurkan wang tunai berjumlah 7.5 juta rupiah (RM2,251) sebagai tanda menghargai kemurahan hati Ni Luh.
Tidak lama selepas kejadian itu, Garza kembali lagi dengan menyediakan kejutan buat Ni Luh.
“Saya membuat kejutan buat penjual di kali lima itu dengan menghadiahkan sebuah rumah baharu serta wang tunai 155 juta rupiah (RM46,524).
“Impiannya adalah untuk memiliki rumah dan terima kasih kepada anda semua,” kata Garza dalam keterangan video yang dikongsikan itu.
Dalam video tersebut, Ni Luh dibawa ke rumah baharunya dengan keadaan matanya ditutup.
Sejurus membuka kain penutup mata, dia menangis terharu lalu mengucapkan rasa terima kasih kepada Garza. – AGENSI