SHAH ALAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini memutuskan kes lelaki yang mengganggu jurugambar wanita yang dikenali sebagai Acacia Mardiana Daud menjalani perbicaraan.
Majistret Sasha Diana Sabtu membuat keputusan itu selepas menolak pengakuan bersalah tertuduh Mohamad Safiq Rosli, 37, hari ini apabila terdapat isu berhubung ketidakwarasan (insanity) dalam bantahan awal yang dibangkitkan pihak pendakwaan.
“Saya tidak menerima pengakuan bersalah tertuduh dan kes akan teruskan dengan perbicaraan,” katanya.
Justeru dengan keputusan itu, Majistret Sasha telah menetapkan 17 Januari depan bagi perbicaraan penuh kes tersebut dengan tiga saksi akan memberi keterangan termasuk Acacia yang mana wanita itu dijangka memberi keterangan melalui sidang video.
Kesemua saksi-saksi juga akan disertakan dengan penyataan saksi masing-masing.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon kes itu diterusan dengan perbicaraan meskipun tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan yang disifatkan bersyarat.
Katanya, laporan psikiatri membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan itu, namun ia tidak mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK).
“Tertuduh perlu memenuhi faktor kewarasan mengikut undang-undang dan kewarasan dalam laporan perubatan untuk digunakan dalam pengakuan bersalah.
“Laporan perubatan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta hanya pemeriksaan kesihatan mengenai kewarasan, pemeriksaan kewarasan ikut undang-undang tidak terjawab. Jadi satu-satunya cara untuk membuktikan kewarasan ikut undang-undang adalah dengan melalui perbicaraan penuh,” katanya.
Sementara itu, peguam Fithril Hakim Ab Jalil yang mewakili tertuduh berhujah keadilan tidak ditegakkan jika anak guam dikekalkan dalam penjara berikutan keadaan mentalnya.
Beliau memohon mahkamah menggunakan Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah untuk membebaskan seseorang atas pertuduhan di mahkamah atas alasan gangguan mental sebelum mengarahkannya ditahan di hospital mental mengikut tempoh diperkenan pemerintah negeri.
“Pihak pendakwaan tahu mengenai keadaan mental tertuduh ketika menyatakan kes ini perlu dibawa untuk perbicaraan. Anak guam akan terus berada dalam penjara dan tiada keadilan untuknya jika kekal di situ,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, tubuh badan Mohamad Safiq yang dulunya berisi kini dilihat lebih kelihatan kurus yang mana berat badannya turun sebanyak 20 kilogram (kg) dari 105 kg kepada 85 kg.
Pada Jumaat minggu lalu, Mohamad Safiq menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkenaan ketika sebutan semula kesnya.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle”.
Gangguan itu kemudian dibaca di sebuah rumah di daerah ini, yang mana tertuduh tahu gangguan berkenaan boleh mendatangkan ketakutan kepada mangsa termasuk melibatkan luahan perasaan.
Perbuatan itu dilakukan antara 15 Julai hingga 21 Julai lalu dengan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE