PETALING JAYA – Pelakon Aprena Manrose dikecam netizen gara-gara mengenakan hoodie dan topi sehingga menampakkan bahagian leher meskipun dirinya berhijab.
Lebih teruk, rata-rata netizen turut mempersoalkan tindakannya sama ada itu sebagai petanda untuk memberitahu dirinya bakal kembali tidak bertudung.
Malah, sebilangan pengikut laman Iain pula menyifatkan aktres jelita itu sebagai pelakon sendu yang dahagakan perhatian.
“Ada tanda-tanda nak buka tudung ke? Harap kuatkan semangat untuk kekal bertudung ye,” komen seorang netizen.
“Macam sikit hari lagi nak terbang tudung tu, harap istiqamah ye, ingat asal usul, hidup ni bukannya lama,” komen seorang pengguna TikTok.
“Kebulur perhatian ke? Beginilah kehidupan artis, iman senipis kulit bawang, terlalu terpedaya dengan keseronokan dunia yang sementara sifatnya,” demikian komen seorang lagi netizen.
Tidak melatah namun enggan mendiamkan diri, pelakon drama Tiada Arah Jodoh Kita itu dilihat membalas komen netizen dengan meminta kaki kecam mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Akaun sebenar ke ni? Atau manusia yang berselindung disebalik akaun palsu?.
“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih, mohon doakan baik-baik,” balasnya tegas.
Sebelum ini, aktres berusia 30 tahun itu mengakui hatinya pernah berbolak-balik untuk kembali tidak berhijab selepas mengambil keputusan menutup aurat dua tahun lalu.
Katanya, lumrah bagi manusia biasa apabila iman mereka diuji sebegitu, lebih-lebih lagi ketika berusaha untuk istiqamah ke arah kebaikan. – KOSMO! ONLINE.