HASRAT Harimau Malaya untuk mencipta kejutan di Piala Asia bulan depan bukan angan-angan kosong apabila bakal diperkuatkan dengan penggempur baharu, Romel Morales.
Penyerang Kuala Lumpur City itu sudah pun melengkapkan proses dokumentasi naturalisasi dan kini namanya turut berada dalam senarai 26 pemain yang dipanggil oleh pengendali negara, Kim Pan-gon.
Selain Morales, peminat tempatan juga turut meraikan senarai pemain yang akan menjalani latihan pusat apabila Pan-gon turut memanggil bintang warisan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa.
“Berdasarkan senarai di atas, Pan-gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Taiwan, November lalu.
“Empat pemain baharu yang tersenarai kali ini ialah dua pemain tengah JDT, Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa, pertahanan Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee serta penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Berdasarkan pemain yang menyertai latihan kali ini, Pan-gon seakan sudah memiliki gambaran sebenar skuad yang bakal dibawa ke Qatar nanti dan kehadiran Morales bakal memberi nilai tambah kepada jentera serangan negara.
Ketika ini, hanya bintang Sabah, Darren Lok dilihat sebagai penyerang tulen Harimau Malaya dan kehadiran Morales dilihat mampu meringankan beban pemain itu selain menambah variasi jentera serangan skuad negara.
Di Piala Asia nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad (20 Januari) dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub (25 Januari).