SERIAN – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dirempuh pikap ketika sedang berteduh di perhentian bas ketika hujan, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 3.58 petang berhampiran Kampung Ensebang, Jalan Sri Aman – Serian.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian yang digerakkan ke lokasi mendapati Toyota Hilux terbabit yang datang dari arah Sri Aman telah hilang kawalan akibat melanggar lopak air lalu merempuh motosikal mangsa di perhentian bas.
Menjelas lanjut, beliau berkata pikap itu dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun bersama-sama isterinya berusia 26 tahun dan dua anak perempuannya berusia tiga dan satu tahun.
“Semua mangsa di dalam pikap tersebut telah dihantar ke Hospital Serian menggunakan ambulans manakala seorang lelaki (penunggang motosikal) berusia 24 tahun selamat dan tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, tiada mangsa tersepit di dalam pikap terbabit yang dalam keadaan remuk akibat merempuh perhentian bas berkenaan.
Malah akibat rempuhan itu, struktur besi dan bumbung perhentian bas itu turut tercabut dari lantainya. – KOSMO! ONLINE