fbpx

Konflik Palestin-Israel: Tahanan wanita terpaksa tinggal anak tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan wanita-wanita Palestin ditahan di sebuah pusat tahanan Israel. - Twitter

BANDAR GAZA – Suruhanjaya Hal Ehwal Bekas Tahanan dan Tahanan Palestin mendedahkan mengenai kesengsaraan dihadapi penduduk yang ditahan di penjara Israel dengan dikenakan hukuman lebih keras setiap hari sejak serangan 7 Oktober lalu, lapor akhbar The Palestine Chronicle kelmarin.  

Menurut suruhanjaya tersebut, tentera Rejim Zionis melancarkan kempen penangkapan yang lebih meluas di Tebing Barat, Baitulmuqaddis, kawasan pedalaman yang ditakluki dan Semenanjung Gaza dengan menyasarkan lebih ramai tahanan wanita.

“Mereka mengalami penyeksaan dan penderaan dari saat-saat ditangkap sehingga memasuki penjara.

“Tahanan-tahanan wanita dipukul, dimalukan, dipaksa menjalani pemeriksaan badan dalam keadaan bogel, dikurung bersendirian dan hak-hak asasi mereka dinafikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu berkata, tahanan-tahanan dari Semenanjung Gaza sengaja dikenakan layanan paling teruk.

Salah seorang tahanan menceritakan mengenai seorang wanita berusia 80 tahun dari Gaza tiba di penjara dalam keadaan berjalan menggunakan tongkat serta tudungnya dilucutkan.

“Pakaian dan badannya dipenuhi dengan darah dan dia kelihatan seperti sudah nyanyuk serta tidak mengingati apa-apa,” kata tahanan yang identitinya dirahsiakan.

Seorang lagi tahanan dari wilayah itu berkongsikan mengenai bagaimana dia ditangkap ketika berada bersama empat anaknya yang masih kecil.

“Disebabkan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, dia terpaksa menyerahkan mereka kepada seorang lelaki yang ketika itu berada berhampiran dengannya tanpa mengetahui identiti individu berkenaan. Dia kemudian meninggalkan anak-anaknya tanpa mengetahui nasib mereka. 

“Lebih menyedihkan adalah terdapat beberapa wanita lain yang turut meninggalkan anak mereka di jalanan apabila mereka ditangkap,” kata laporan tersebut.

Tambah laporan itu lagi, semua pakaian tahanan wanita dari Gaza dirampas dan digantikan dengan pakaian musim panas.

“Sebahagian daripada mereka dibiarkan selama tujuh hari di luar penjara dalam cuaca hujan dan kesejukan.

“Semua tahanan wanita dari Gaza tiba di penjara dalam keadaan yang menyedihkan dari sudut kesihatan, fizikal dan psikologi,” tegas laporan itu.

Kumpulan hak-hak asasi manusia itu menambah, pengakuan tahanan-tahanan tersebut hanya mewakili sebahagian kecil daripada maklumat yang mampu diperoleh tetapi keadaan sebenar yang disembunyikan adalah jauh lebih dahsyat.

Pada November lalu, Suruhanjaya Hal Ehwal Bekas Tahanan dan Tahanan Palestin  memberitahu stesen penyiaran CNN bahawa kira-kira 8,300 tahanan Palestin kini ditahan di penjara Israel.

Lebih 3,000 daripada mereka ditahan dalam apa yang disebut Zionis sebagai ‘penahanan pentadbiran’. Ini bermaksud mereka ditahan tanpa mengetahui pertuduhan yang dihadapi dan tanpa proses undang-undang yang berterusan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI