PETALING JAYA – Penggunaan kaedah lakaran pelaris iaitu ilmu atau jampi yang diyakini mampu mempromosikan kejayaan perniagaan menjadi bualan hangat di media sosial.
Namun, amalan ini mendapat sorotan daripada pihak berkuasa agama terutamanya dalam konteks ajaran Islam.
Seorang pengamal perubatan Islam di Pusat Rawatan Al-Idrus, Ustaz Syafiq Mujahid mengungkapkan bahawa penggunaan pelaris dalam bentuk fizikal atau magis adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
“Bila masuk kedai, bahu kita jadi berat, sakit pinggang, sakit lutut dan siapa bawa anak kecil, bila masuk kedai tiba-tiba dia meraung dan menangis, itu antara ciri kedai yang menggunakan ‘pelaris’ kerana mereka boleh melihat perkara-perkara ini,” jelasnya.
Ustaz Shafiq menegaskan, sebelum menjamu selera di mana-mana kedai, kita perlu melihat sekeliling sama ada terdapat ‘pelaris’ seperti lakaran atau tangkal tergantung di pintu dan di kaunter pembayaran yang boleh memberi kesan negatif kepada pelanggan.
Menerusi perkongsian @mysantaitv di aplikasi X, kaedah pelaris yang popular ialah lukisan bernama wafaq, yang mengandungi ayat-ayat tertentu seperti nama-nama Allah, huruf Arab, simbol geometri dan kalimah suci al-Quran.
“Wafaq biasanya digantung dalam bingkai di dinding, di atas pintu dan tingkap, diikat pada tiang rumah, disimpan dalam bekas dan diletakkan tinggi di dalam rumah atau bilik,” katanya.
Seorang pengguna media sosial yang mahu dikenali sebagai Jan, berkongsi pengalaman dia dan suami pernah makan di kedai yang menggunakan lakaran pelaris di Terengganu.
“Saya pernah makan di restoran Siam, kali pertama saya makan, mi celup dia memang sedap. Jadi saya ke sana semula. Tapi, kali ini saya makan menghadap pintu kedai dan saya perasan pemilik kedai itu menggantung bingkai yang mengandungi ayat-ayat pelik.
“Lepas itu saya berhenti makan. Suami saya dah siap sedut kuah dan siap nak habiskan makanan saya. Saya terus ajak dia balik dan cerita kat rumah. Kalau saya cerita kat sana, lain pula nanti jadinya,” kongsi Jan. – KOSMO! ONLINE