RANTAU PANJANG – Penduduk Kampung Tersang, Bendang Perol dan Tok Deh, di sini sudah perit apabila menjadi antara mangsa banjir terawal ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan terakhir pulang ke rumah setiap kali banjir melanda.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, penduduk yang terkesan banjir mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak terowong air di projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, di sini, bagi mengatasi masalah banjir termenung.
“Masuk hari ini (semalam), sudah tiga minggu air banjir di sini ‘bertahan’. Untuk makluman penduduk Kampung Tersang, Bendang Perol dan Tok Deh antara mangsa terawal ke PPS dan terakhir pulang ke rumah setiap kali banjir melanda Rantau Panjang.
“Kasihanilah kami yang terpaksa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dalam tempoh lama,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan aman yang disertai lebih 50 penduduk di sini semalam.
Ujarnya, langkah mewujudkan lebih banyak terowong air PLSB Sungai Golok dilihat mampu mengurangkan kesan banjir yang terpaksa dihadapi penduduk di lebih 10 buah kampung sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya.
Sementara itu, menurut Info Bencana JKM semalam, seramai 4,089 mangsa banjir ditempatkan di 13 PPS di Pasir Mas.
Setakat pukul 1 tengah hari semalam, hanya daerah Pasir Mas terutama di Rantau Panjang yang terjejas berikutan limpahan Sungai Golok yang melepasi bacaan paras bahaya.
Di Kuala Terengganu, banjir gelombang kedua melanda Terengganu sejak Khamis lalu semakin pulih dengan 20 mangsa daripada empat keluarga di Marang masih berada di PPS semalam.
“Kesemua mangsa tersebut masih berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang,” katanya.