KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini petang semalam sempat melambai tangan sambil terkapai-kapai sebelum tenggelam.
Saksi kejadian, Zulkarnain Mohamad, 64, berkata, dia sempat menjerit dan cuba mencapai tangan lelaki itu sebelum dia jatuh ke dalam sungai tersebut.
Menurut pesara polis itu, sebelum kejadian, dia melihat sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang mangsa pandu dalam keadaan terhuyung-hayang apabila kenderaan tersebut dipandu ke tepi kemudian ke tengah jalan sebelum tiba di jambatan berkenaan.
“Melihat kepada keadaan itu, saya terus mengekori trak pikap itu sejauh 1.5 kilometer dan melihat ia berhenti secara tiba-tiba di atas Jambatan Tendong.
“Saya melihat mangsa yang memakai seluar pada paras lutut dan berbaju warna kelabu keluar dari kenderaan itu sebelum terus memanjat pagar jambatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Zulkarnain memberitahu, dia terus keluar dari keretanya dan melihat mangsa melambai tangan dalam keadaan terkapai- kapai beberapa kali sebelum tenggelam.
Katanya, dia terus menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan untuk memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut semalam.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Fakaruddin Brahim berkata, operasi mencari dan penyelamat (SAR) diperluaskan ke 7 kilometer radius berbanding
2 km pada petang semalam.
“Tujuh buah bot melibatkan aset bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan dalam operasi ini. Unit K9 Ibu Pejabat Bomba Putrajaya dijangka tiba petang ini selain bantuan unit dron dari Bukit Aman,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang ahli perniagaan yang membuat pelbagai barangan besi dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini.
Mangsa, Mohd. Zulhilmi Mohd. Zamri, 37, disedari jatuh dari jambatan itu oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.50 petang. – KOSMO! ONLINE