REYKJAVIK, ICELAND – Pejabat meteorologi Iceland mengeluarkan amaran mengenai pencemaran gas yang dikhuatiri menjejaskan ibu negara, Reykjavik selepas sebuah gunung berapi meletus lewat kelmarin, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Gunung berapi di Semenanjung Reykjanes, barat daya Iceland itu meletus selepas berminggu-minggu gempa bumi dan gegaran kuat berlaku.
Kira-kira 4,000 orang dipindahkan dari Grindavik bulan lalu iaitu sebuah bandar nelayan yang diancam oleh aliran lahar.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran Grindavik menggambarkan situasi tersebut sebagai ‘gila’ dan menyeramkan pada malam semalam.
Bau asap dan abu dapat dihidu sejauh 30 kilometer dari lokasi letusan, manakala wakil BBC menjelaskan bahawa mereka merasakan getaran sesekali berlaku di dalam tanah.
Letusan pula boleh dilihat sehingga ke Reykjavik yang terletak kira-kira 42 kilometer ke timur laut Grindavik.
Pada 2010, satu letusan gunung berapi menyebabkan kepulan abu naik beberapa kilometer ke atmosfera. Ia turut mengakibatkan gangguan perjalanan udara di Eropah selama beberapa hari.
Seorang pakar gunung berapi, Dr. Evgenia Ilyinskaya memberitahu BBC bahawa tidak akan ada tahap gangguan yang sama seperti 2010 dalam kejadian kali ini.
“Gunung berapi di barat daya Iceland itu secara fizikalnya tidak dapat menjana awan abu yang sama kekuatannya,” kata Ilyinskaya. – AGENSI