fbpx

DBKL umum Belanjawan 2024 sebanyak RM2.66 billion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarulzaman (dua dari kiri) memegang dokumen Belanjawan 2024 ketika ditemui di Majlis Pembentangan Belanjawan DBKL 2024 di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.66 billion bagi Belanjawan 2024 dengan peningkatan sebanyak 2.13 peratus berbanding belanjawan sebelum ini yang bernilai RM2.6 billion.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, RM2.01 billion atau sebanyak 75.6 peratus diperuntukkan bagi tujuan pengurusan manakala bakinya sebanyak RM650 juta atau sebanyak 24.4 peratus adalah bagi pembangunan.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2024 adalah belanjawan defisit berjumlah RM275.9 juta. Bagaimanapun, bagi mengimbangi defisit tersebut, DBKL mengambil pendekatan untuk meningkatkan hasil melalui penjanaan hasil baharu.

“Salah satu daripadanya adalah dengan mengenakan cas RM1 bagi setiap perjalanan menggunakan bas GOKL kepada pengguna bukan warganegara Malaysia bermula 1 Januari 2024.

“Selain itu, DBKL turut memperkasakan kaedah mengutip tunggakan hasil seperti pembayaran ansuran tunggakan cukai taksiran melalui kad kredit tapa faedah, pelaksanaan Task Force kutipan tunggakan sepanjang tahun dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembentangan Belanjawan DBKL 2024 di Menara DBKL 1, di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, Belanjawan 2024 DBKL dengan tema ‘Aspirasi Madani, Bandar Raya Lestari’ dirangka selaras dengan enam prinsip Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Tambahnya, DBKL telah menyediakan peruntukan mengikut 11 program keutamaan untuk merealisasikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sejahtera untuk semua.

“Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2023, anggaran penduduk Kuala Lumpur telah mencecah 1.99 juta berbanding 1.96 juta pada tahun 2022,” katanya.

Tambah Kamarulzaman, kepadatan penduduk yang tinggi menjadi cabaran besar kepada DBKL bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap yang cemerlang

“Cabaran terbesar adalah perkara yang melibatkan pengindahan dan kebersihan awam, pengurusan sisa pepejal, perancangan bandar dan kawalan binaan, pengurusan lalu lintas, penjaja dan peniaga kecil, penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam serta penyediaan perumahan yang mencukupi.

“Melalui tema Bandar Raya Lestari ini Juga, besarlah harapan saya untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar di mana pencapaian dalam pembangunan sosial, ekonomi dan fizikalnya adalah secara mapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI