AMPANG JAYA – Pokok besar yang tumbang meragut dua nyawa di di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, dipercayai berusia lebih daripada 50 tahun.
Menurut seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Shah, 35, berkata, kejadian tersebut jelas menggemparkan penduduk di kawasan tersebut.
“Pokok ini sudah lama lebih 50 tahun. Dikatakan berlaku rekahan tanah sebelum pokok ketapang itu tumbang.
“Bukan pokok ini sahaja sudah lama, sebuah pokok jenis sama yang bertentangan dengannya juga telah berusia,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta disahkan maut dalam kejadian pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.51 petang.
Menurut beliau, pemandu kenderaan jenis pelbagai guna Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Ampang.
Mengulas lanjut, Shah berkata, pemandu Avanza tersebut dikatakan dalam perjalanan ke rumah rakannya di flat berdekatan sebelum kejadian malang tersebut menimpa dirinya.
“Katanya mangsa (Pemandu Avanza) dari Hulu Langat hendak bertemu rakannya di kawasan flat ini,” katanya.
Tambah Shah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya mengambil tindakan lebih drastik susulan kejadian pokok tumbang kali ini telah meragut dua nyawa.
“Harap pihak bertanggungjawab melihat keadaan pokok-pokok yang telah berusia sekitar laluan perumahan ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE.