GEORGE TOWN – Sekumpulan nelayan dan kaki pancing menyelamatkan seorang pemuda daripada dihanyutkan arus selepas terjatuh di Kilometer 3.4, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke pulau di sini, pagi tadi.
Lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditemui nelayan tidak jauh dari lokasi dia terjatuh kira-kira 50 meter dari tembok bawah jambatan berkenaan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 11.23 pagi dan operasi melibatkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai.
Terdapat sebuah motosikal jenis SYM dan dokumen peribadi ditinggalkan mangsa atas jambatan tersebut.
“Mangsa yang terjatuh diselamatkan nelayan yang berada di lokasi tersebut sebelum membawanya ke Jeti Polis Marin di sini.
“Lelaki itu dijumpai pukul 12 tengah hari tadi dalam keadaan selamat. Dia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki menemui mangsa lalu mengangkatnya ke atas bot yang dipercayai dirakam seorang kaki pancing di bawah jambatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE