PETALING JAYA – Pelakon Azhar Sulaiman mendedahkan nyaris menghempas anak sulungnya, Kasih Iris Ixora ketika masih bayi disebabkan tidak mampu menahan kemarahan.
Katanya, insiden di luar kawalan yang berpunca daripada pergaduhan dengan isteri, Chempaka Emalin Pahamin itu bagaimanapun dapat dielakkan sebaik menyedari kekhilafannya.
“Saya pernah berada dalam situasi kritikal di mana kalau ikut rasa amarah sesuatu yang buruk mungkin akan berlaku.
“Saya baru balik penggambaran sekitar pukul 5 pagi dan ketika itu Kasih baru lahir. Saya sampai rumah tengok Chempaka tidur dengan Kasih menangis disebelahnya.
“Chempaka suruh saya buat susu untuk anak namun saya cakap baru balik kerja, dialah kena bangun dan buatkan susu.
“Dia tak nak bangun sampai saya geram dengar Kasih menjerit. Saya angkat dan nak hempas dia kat dinding tapi mujur saya tersentak dan istighfar banyak-banyak,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Walaupun kejadian tersebut sudah lama berlaku, bapa kepada tiga cahaya mata itu masih tidak dapat melupakannya.
Ceritanya lagi, kemarahan terhadap Chempaka pernah tercetus selepas isterinya terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan kenderaan milik mereka rosak.
“Saya baru baiki kereta, dia bawa kereta itu lalu kemalangan. Dia balik saya marahlah tapi dia buat bodoh saja sampaikan saya pula cari pasal dengan orang,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Azhar, 52, tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya menjadikan kisah itu sebagai pengajaran.
Bintang filem Abang 92 itu juga berharap orang ramai membendung perasaan marah ataupun baran bagi mengelakkan penyesalan di kemudian hari.
“Berdasarkan dua insiden yang saya ceritakan, beringatlah ketika kita marah, takut dalam beberapa saat saja kita dah buat satu kesilapan besar dalam hidup.
“Dalam dunia ini mana ada orang yang tak marah, semua orang akan melalui situasi sama apabila hati disakiti atau terbabit dalam pergaduhan.
“Apabila kita marah, kena berjaga-jaga dan jangan layankan sangat perasaan,” ujarnya.
Biarpun tidak menyatakan hantaran berkenaan ditujukan kepada sesiapa, dalam ruangan komen rata-rata pengikutnya berterima kasih atas pesanan itu selain berkongsi pengalaman mereka melalui situasi serupa. – KOSMO! ONLINE
@theazharsulaiman Behar hampir hempuk Kasih….