GEORGE TOWN – Tiga beranak dilaporkan mengalami sesak nafas selepas kediaman mereka di tingkat 10 sebuah flat di Jalan Semarak Api I, Air Itam di sini terbakar, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, seorang ibu berusia 66 tahun bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berumur 40-an terlebih dahulu diselamatkan penduduk di situ dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd Zaini Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.59 malam dan operasi tersebut turut melibatkan bantuan keanggotaan dari BBP Jalan Perak.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah flat kelas A dengan anggaran peratusan kemusnahan adalah 60 peratus. Kerja-kerja pemadaman turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela dan balai berhampiran.
“Terdapat tiga mangsa yang mengalami sesak nafas namun keadaan mereka stabil. Mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pihak bomba telah membuat ‘size up’ dan menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman serta penyelamatan di lokasi kejadian.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.34 malam dan api padam sepenuhnya pada 10.45 malam tadi. Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada faktor bahaya lain dan operasi ditamatkan pada pukul 11.17 malam,” jelasnya nilai kerugian dan punca kebakaran akan disiasat oleh pasukan forensik bomba. – KOSMO! ONLINE