fbpx

‘Tiada istilah asrama pekerja asing atau tempatan, boleh didiami semua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mooi Lye (dua dari kiri) pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Depoh Pembersihan Ampang Jajar, Pejabat Operasi Jabatan Landskap MBSP serta ISWMC di Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Kerajaan negeri masih belum menyemak hasil Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) mengenai pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, hal ini demikian kerana projek tersebut masih berada di bawah seliaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Terdahulu katanya, SIA tersebut dijalankan dengan kerjasama komuniti setempat dalam usaha untuk mendapatkan input daripada mereka berhubung kebimbangan yang mungkin wujud susulan dalam pembinaan projek tersebut.

“Sebenarnya, tidak ada istilah asrama pekerja warga asing atau tempatan kerana yang ada cuma asrama pekerja sahaja yang boleh didiami oleh semua pekerja termasuk warga tempatan.

“Bagaimanapun, setiap permohonan pembinaan itu mestilah melalui proses tertentu termasuk SIA dan Penilaian Alam Sekitar (EIA) daripada pelbagai agensi untuk mengenal pasti sama ada tapak itu sesuai untuk pembinaan atau sebaliknya.

“Dalam hal ini, saya percaya bahawa setiap permohonan (untuk membangunkan asrama pekerja) itu mesti ada bantahan juga kerana kita faham kebimbangan yang dihadapi oleh penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, satu jawatankuasa bertindak dikatakan telah merancang untuk mengadakan bantahan secara aman berhubung pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar itu pada 30 Disember ini.

Ini susulan kelulusan yang diberikan oleh kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang untuk meluluskan dua permohonan bagi pembinaan asrama pekerja berkenaan sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye memberitahu, meskipun permohonan untuk membina asrama pekerja itu telah diluluskan, namun katanya, Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) bagi projek tersebut sebenarnya masih berada dalam peringkat pertimbangan.

“Ya, memang kita ada menerima permohonan daripada mereka (pemaju) namun, kita perlu meneliti beberapa perkara termasuk PKM, reka bentuk projek dan sebagainya sebelum memberi kelulusan untuk pembinaan projek berkenaan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI