PUTRAJAYA – Orang ramai masih boleh menyumbang kepada tabung khas yang diwujudkan kerajaan pada Oktober lepas untuk misi membantu Palestin.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ekoran ramai tersalah faham dengan menyangka ia sudah ditutup.
Mohd. Na’im berkata, orang ramai mungkin keliru apabila media tempatan ada melaporkan tempoh kutipan tabung tersebut ditutup pada 30 November lalu.
“Sebenarnya tiada tarikh tutup. Setakat ini kita sudah terima kira-kira RM8.8 juta dan akan diserah kepada Tabung Musaadah Jakim-YWM untuk tindakan susulan,” katanya, selepas menyaksikan penyampaian cek kepada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) untuk Palestin. – KOSMO! ONLINE