PETALING JAYA – Seorang lelaki dengan berani mengakui bahawa dia sukar untuk melupakan cinta pertamanya yang dikenali sejak kecil.
Lebih mengejutkan, lelaki tersebut berkata, dia nekad menceraikan isterinya untuk kembali menjalinkan kasih dengan wanita tersebut meskipun masing-masing sudah mempunyai pasangan.
Dia yang dikenali sebagai Jimmy, membuat pengakuan tersebut menerusi panggilan di sebuah stesen radio pagi tadi.
Tambah lelaki tersebut, dia turut menyokong tindakan pelakon, Hafidz Roshdi yang kembali berkahwin dengan cinta pertamanya, Athira Yuhada selepas sah bercerai dengan isterinya, Nurul Shuhada.
Katanya, cinta pertama adalah sesuatu yang paling sukar dilupakan meskipun dia dan isteri sudah berkahwin lebih setahun.
“Betul, ‘first love’ (cinta pertama) sangat susah dilupakan. Macam kes baru-baru ini berkait Hafidz Roshdi, saya sangat setuju dengan apa yang dia buat bila kahwin dengan ‘first love’ siap buat video.
“Sebab saya pun dalam situasi yang lebih kurang begitu. Saya ada seorang wanita yang memang saya dah kenal lama sangat dari kecil. Saya sekarang memang sudah bersama dengan orang lain (berkahwin) tetapi dalam masa sama saya dengan dia juga (cinta pertama).
“Hati saya memang masih dengan cinta pertama, dan apa saya perlu buat adalah akhiri dengan apa yang ada (bercerai) sebab dia (kekasih) ada satu tempat istimewa dalam hati,” kongsinya.
Rakaman perbualan lelaki tersebut bersama penyampai radio turut dikongsikan di media sosial sehingga mendapat kecaman daripada netizen.
Rata-rata bersimpati dengan nasib si isteri kerana bersuamikan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
“Allah.. kesian isteri dia, hancur isteri kalau dengar suami kata macam ini. Kalau kau tak sayang bini kau, kenapa kau kahwin dengan dia, lebih baik kau berjuang untuk cinta pertama kau,” tegur seorang pengguna.
“Kahwin itu datang dengan amanah, bukan suka hati dan ikut hati. Kenapa tak berjuang untuk cinta pertama dan kahwin dengan isteri sekarang?,” soal @xeeraishmael.
“Lelaki macam ini kalau aku jumpa memang aku seret dia atas jalan Gombak. Kau buat main isteri kau macam sampah,” bidas Fathia. – KOSMO! ONLINE