fbpx

Pokok tumbang: Abi ‘pergi’ lepas hantar adik ke pusat dialisis – Anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radin Abd Khalim (kanan) yang maut dihempap pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, hari ini.

AMPANG – “Memang rutin Abi setiap minggu akan hantar adik dialisis di Hospital Ampang dan kebetulan dia keluar untuk jumpa kawan sebelum kejadian pokok tumbang,” kata Radin Muhd Nur Amri Radin Abd Khalim, 33.

Demikian luahan anak kepada Radin Abd Khalim Radin Mahfudz, 64, pemandu kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza yang maut akibat dihempap pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini hari ini.

Menurut anak pesara kerajaan itu, bapanya merupakan seorang yang sangat mesra dengan orang ramai selain tidak pernah mengeluh menggalas tanggungjawab membesarkan mereka sembilan beranak.

“Dia rajin bermasyarakat dan suka berkenalan dengan orang ramai. Bila ada masalah Abi bukan jenis bercerita, kadang-kadang kita banyak tak tahu tentang Abi sebab dia pilih untuk simpan.

“Tapi Abi dia akan selalu telefon tanya tentang anak dan cucu dia, baru-baru ini ada juga buat panggilan video dengan dia dan kebanyakan bercakap tentang kehidupan anak-anak dan hal semasa,” katanya kepada Kosmo!

Mengulas mengenai sebelum kejadian malang tersebut berlaku, Amri berkata setiap minggu bapanya akan pergi ke pusat dialisis di Hospital Ampang sebanyak tiga kali untuk rawatan adiknya.

“Sejak awal tahun ini adik saya ada masalah buah pinggang, memang rutin ayah seminggu tiga kali hantar adik nombor tujuh ke Hospital Ampang ulang-alik dari Hulu Langat.

“Mungkin nak dijadikan cerita, waktu menunggu agak lama jadi dia pergi untuk berjumpa dengan rakan, tak sangka Abi terlibat pula dengan kemalangan,” katanya.

Jelas Amri, dia sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap orang ramai mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Saya tahu Abi terlibat kemalangan daripada adik saya, dia telefon cakap Abi terlibat kemalangan, saya ingatkan kemalangan babitkan kenderaan rupanya dihempap pokok tumbang.

“Mak saya juga telefon suruh datang sini (Hospital Ampang). Mak nampak sedih, tapi dalam hal ini dia tetap nampak kuat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta disahkan maut dalam kejadian pokok tumbang di jalan utama Kampung Lembah Jaya Utara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian membabitkan dua lelaki tempatan berusia 64 dan 23 tahun itu pada pukul 3.51 petang tadi.

Menurut beliau, pemandu kenderaan jenis pelbagai guna Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal disahkan maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Ampang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI