KUALA SELANGOR – Hati seorang ibu remuk apabila melihat semua persiapan majlis perkahwinan anak perempuannya musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang, di sini hari ini.
Selain rumah separa kayu dua tingkat itu, kebakaran pada pukul 11 pagi turut memusnahkan sebuah motosikal yang berada di lokasi tersebut.
Mangsa, Martiah Jabar, 72, berkata, kediaman yang dipenuhi kelengkapan perkahwinan anak bongsunya pada Sabtu ini tidak sempat diselamatkan.
“Semua barang hantaran, cenderahati dan pakaian kami sekeluarga rentung. Bukan sekadar tinggal sehelai sepinggang, saya sedih mengenangkan tinggal empat hari lagi sebelum majlis perkahwinan anak,” katanya ketika ditemui.
Menurut Martiah, ketika kejadian, dia sekeluarga sedang sibuk bergotong-royong membuat persiapan perkahwinan sebelum terdengar bunyi letupan diikuti bau terbakar sebelum melihat api pada tiang kayu rumah.
“Saya memanggil cucu dan sempat melaungkan Allahuakbar beberapa kali kerana terkejut melihat api semakin marak di tingkat atas,” ujarnya
Tambah Martiah, dia bersyukur kerana suaminya, Marni Selamat, 76, yang mempunyai masalah jantung sempat diselamatkan jiran yang membawa keluar dari rumah tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 11.43 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang terbakar 80 peratus, manakala api berjaya dikawal pukul 12.08 tengah hari. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE