BANDAR GAZA – Sistem kemanusiaan di Gaza semakin menunjukkan tanda-tanda keruntuhan apabila penduduk yang terdesak menyerbu lori bantuan dan menyelongkar makanan serta bekalan keperluan lain, lapor stesen penyiaran Al Jazeera kelmarin.
Ia berlaku selepas lebih dua bulan pengeboman tanpa henti askar Israel yang telah memaksa orang ramai berpindah ke bahagian paling selatan enklaf itu.
Dalam insiden kelmarin, berpuluh-puluh penduduk yang kebuluran dan terdesak melompat naik ke atas beberapa lori yang ditahan di tengah jalan di Rafah, dekat sempadan Mesir.
Mereka mengerumuni lori-lori yang tiba dari Lintasan Rafah sebelum ada yang memanjat naik dan menyelongkar makanan serta kotak-kotak mengandungi air dan bekalan lain.
Sebilangan penduduk pula menanti di bahagian bawah untuk mengambil kotak yang dikeluarkan dari lori.
“Situasi kemanusiaan telah menjadi semakin terdesak, bukan sahaja untuk penduduk bandar Rafah, bahkan sejuta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
“Mereka kini berada dalam keadaan sangat lapar, kebuluran, dahaga dan trauma ketika perang masih berlangsung dengan sengit,” kata wartawan Al Jazeera di Gaza, Hani Mahmoud.
Menurut Hani, jumlah bekalan bantuan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza tidak mencukupi sekali gus memaksa penduduk beralih kepada mod survival.
“Penduduk hidup sehari-hari tanpa mempunyai apa-apa. Tiada rumah, tiada akses kepada makanan, tiada air dan tiada bekalan ubat.
“Justeru, apa yang berlaku di Lintasan Rafah (menyerbu lori) adalah tindak balas semula jadi. Apabila manusia kebuluran sehingga hampir mati dan apabila mereka lapar, keadaan seperti ini pasti akan berlaku,” ujarnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu memberi amaran bahawa penduduk Gaza berada dalam keadaan amat terdesak untuk mendapatkan makanan, sehinggakan mereka berpotensi menghentikan lori bantuan di tengah jalan atau makan apa sahaja yang ditemui.
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini ketika melawat Gaza baru-baru ini berkata, penduduk wilayah itu tidak pernah mengalami keadaan kelaparan seperti itu meskipun mempunyai sejarah kesengsaraan yang amat lama di bawah penaklukan Rejim Zionis.
“Saya melihat dengan mata saya sendiri penduduk Rafah menyelongkar trak bantuan dan terus makan apa sahaja yang mereka temui ketika itu,” ujarnya.
Program Makanan Sedunia (WFP) mengesahkan hampir separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini kebuluran serta tidak tidak tahu apa yang akan menjadi hidangan mereka seterusnya.
Rafah kini menempatkan lebih 12,000 orang bagi setiap kilometer persegi serta menjadi lokasi perlindungan untuk kira-kira 85 peratus penduduk yang kehilangan tempat tinggal di seluruh Semenanjung Gaza sejak serangan bermula pada 7 Oktober lalu. – AGENSI