BANDAR GAZA – Israel melakukan jenayah perang dengan menjadikan kebuluran orang awam sebagai taktik peperangan di Semenanjung Gaza, demikian menurut pertubuhan hak-hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) semalam seperti dilaporkan laman berita Palestine News Network (PNN).
Menurut HRW, tentera Israel dengan sengaja menghalang penghantaran air, makanan dan bahan api selain menyekat bantuan kemanusiaan, memusnahkan kawasan pertanian serta merampas barang atau benda yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk.
Sejak Hamas serangan pada 7 Oktober lalu, pegawai-pegawai tinggi Israel termasuk Menteri Pertahanan, Menteri Keselamatan dan Menteri Tenaga membuat kenyataan yang menegaskan bahawa sasaran mereka adalah untuk menafikan hak-hak orang awam di Gaza bagi mendapatkan makanan, air dan bahan api.
Pegawai Israel lain secara terbuka menyatakan bahawa bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu disertai dengan syarat pembebasan tebusan-tebusan yang ditahan oleh Hamas atau pergerakan pejuang itu dimusnahkan.
“Selama lebih dua bulan, Israel telah menafikan hak penduduk Gaza untuk mendapatkan makanan dan air.
“Ia menggambarkan niat mereka untuk membuatkan orang awam berada dalam krisis kebuluran dan ia adalah satu taktik peperangan.
“Pemimpin dunia harus bersuara menentang jenayah perang yang menjijikkan ini yang mempunyai kesan buruk kepada penduduk Gaza,” kata Pengarah HRW Palestin dan Israel, Omar Shakir.
Menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau undang-undang perang, menjadikan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan adalah dilarang sama sekali dan merupakan satu bentuk jenayah perang. – AGENSI